Politik Kandang: Siapakah musuh sebenar Binatang?



Politik Kandang: Siapakah musuh sebenar Binatang?  


http://images.gr-assets.com/books/1386754302l/19372648.jpg
Edisi Bahasa Melayu tahun 2014 oleh ITBM
Judul: Politik Kandang
Judul Asal: The Animal Farm 
Penterjemah:  Al-Mustaqeem Mahmod Radhi
Penulis Asal: George Orwell
Halaman: 150 muka surat

Penulisan yang bercirikan metafora memerlukan penghayatan yang mendalam daripada kedua belah pihak samada penulis, mahupun pembaca. Metafora itu tidak akan berjaya disampaikan sekiranya maksud yang tersembunyi tidak mampu difahami pembaca. Pendekatan metafora boleh dipersembahkan menerusi alegori di mana perlambangan itu dikupas dalam situasi yang lebih panjang samada keseluruhan puisi, cerpen, ataupun novel. Sementara itu, metafora pula dirujuk hanyalah kepada satu perkataan sahaja yang menjadi perlambangan buat sesuatu yang lain.


Alegori sememangnya ciri utama dalam novel Politik Kandang yang diterjemah daripada The Animal Farm karya asal oleh George Orwell dalam Bahasa Inggeris. Apabila melihat naskhahnya di ruang pameran di celah-celah karya lain, satu perkara yang membuatkan mata tertancap kepadanya ialah lukisan binatang-binatang di ladang. Sang lembu bertompok hitam yang sedang meragut rumput, sang kuda yang gagah, ayam jantan yang sedang memerhatikan mentari di ufuk timur langit dan walaupun tidak berapa jelas, rasanya ada juga kambing biri-biri sekeluarga. Sekaligus mengimbau nostalgia semasa kecil ketika diperkenalkan dengan Siri Buku Peter & Jane oleh ibuku yang bijaksana; Buku cerita dalam Bahasa Inggeris bagi kanak-kanak yang baru mula membaca. Perasaannya terasa hampir serupa.


Ilustrasi berwarna-warni di kulit novel ini bercirikan mesra kanak-kanak dengan tajuk yang begitu kontras. Mengapa sang pereka seni grafik tergamak menggabungkan perkataan politik, iaitu sesuatu yang berbau ketamakan, kepentingan diri dengan lakaran ayam, lembu, kuda yang kelihatan harmoni dan pagar ladang yang berwarna putih bersih?  Ia seolah-olah cuba memberi bayangan bahawa secomel binatang di ladang, ada juga muslihat di sebaliknya. Penggunaan huruf besar bagi perkataan "KANDANG" juga merupakan satu helah oleh pereka kulit yang mahu menarik perhatian mata saat menatap susunan buku di rak bacaan dewasa. Sebagaimana isi novel yang menggabungkan alam satwa dengan dunia politik yang keji, jangan mudah terpedaya dengan kulit novel yang dipaparkan. Pembacaan novel ini tidak seindah kehidupan yang digambarkan aman damai di ladang. 


Jika difikirkan, judul asalnya juga kedengaran begitu sopan dan tidak mengundang kepada sebarang konotasi kelicikan sebuah propaganda. ”Haiwan di Ladang”, adalah tajuknya jika diterjemah secara langsung daripada judul asal; The Animal Farm, berbunyi seperti salah satu buku yang biasanya terselit di segmen pembacaan kanak-kanak berusia bawah 5 tahun. Begitu juga dengan pilihan kulit buku bagi naskhah terjemahan ini yang tebal berjenis keras dengan sedikit kelembutan ketika jari menyentuhnya buat pertama kali. Saiz buku yang sederhana juga membuatkan perasaan memegangnya terasa kejap dan tidak mudah terlepas. Nampaknya usaha istimewa diletakkan kepada mutu penerbitan kali ini berbanding novel terjemahan lain yang pernah dihasilkan sebelum ini. 

https://upload.wikimedia.org/wikipedia/commons/thumb/f/fb/Animal_Farm_-_1st_edition.jpg/220px-Animal_Farm_-_1st_edition.jpg
Edisi Pertama tahun 1945. Animal Farm: A Fairy Story


Politik Kandang bermula dengan menceritakan perihal Ladang Manor yang dimiliki Tuan Jones. Haiwan ternakan Tuan Jones merasakan seperti hak dan kebajikan mereka terabai gara-gara ideologi bahawa setiap haiwan layak hidup merdeka hasil cetusan manifesto Si Major Tua babi jantan baka Middle White. Perasaan tertindas menyemarakkan semangat pemberontakan dalam jiwa para haiwan yang bertindak mengusir Tuan Jones dan manusia lain demi satu cita-cita mencapai kemerdekaan daripada manusia dan kepercayaan bahawa Kaki Empat lebih baik daripada Kaki Dua. Ideologi Binatangisme, diterapkan di kalangan para haiwan oleh Snowball dan Napoleon menerusi jurucakap mereka Squealer, seekor babi kecil gemuk yang berpipi bulat. Kini, Ladang Major ditukar nama kepada Ladang Binatang. 


Pada awalnya, semua haiwan diajar membaca dan menulis oleh para babi. Kebolehan membaca dan menulis adalah petanda jiwa yang merdeka. Namun demikian, memori Haiwan secara purata hanyalah 27 saat sahaja. Kajian telah dijalankan terhadap 25 spesies haiwan darat dan lautan bagi mengukur kebolehan haiwan mengingati sesuatu peristiwa.  Lantas para saintis menyimpulkan bahawa memori ialah sesuatu yang unik yang hanya ada pada manusia selain daripada akal. Atas kekurangan ini, semua haiwan di Ladang Manor mudah saja dibodohkan Squealer dalam hujahnya setiap kali propaganda baru diperkenalkan. Maka, perlahan-lahan binatang di ladang melupakan Rukun Tujuh yang menjadi teras perjuangan Satwa England.
 

Rukun Tujuh

1. Apa saja makhluk yang berjalan dengan dua kaki adalah musuh

2. Apa saja makhluk yang berjalan dengan empat kaki, atau mempunyai sayap, adalah kawan.

3. Binatang sama sekali tidak boleh memakai baju.

4. Binatang sama sekali tidak boleh tidur di atas katil.

5. Binatang sama sekali tidak boleh minum arak.

6. Binatang sama sekali tidak boleh membunuh binatang lain.

7. Semua binatang adalah setara.


Manusia yang digambarkan sebagai musuh nombor satu haiwan, lama kelamaan menjadi sekutu Binatang apabila kerakusan dan ketamakan mula menguasai jiwa Komander Napoleon. Sesuatu yang ironi kerana perlahan-lahan haiwan menyedari bahawa Prinsip Asasi Binatangisme itu adalah pincang dan tidak sempurna. Jadi, haiwan tetap memerlukan manusia dalam beberapa perkara berkaitan urusan ladang. Walaupun begitu, hanya satu spesies sahaja yang melakukan ini secara sedar, sementara yang lain, dek basuhan terhadap otak mereka yang tidak berakal itu, tetap mempercayai Rukun Tujuh sebagai sesuatu yang suci yang perlu disanjung tinggi sejak Pemberontakan berlaku. Haiwan tetap melaungkan “Empat Kaki Baik, Dua Kaki Jahat!” sebagai mantra pemberi semangat apabila terdapat sebarang keraguan dalam tindakan pemimpin mereka. 


Telah dinyatakan pada awal lagi, bahawa novel ini adalah sebuah karya yang bersifat Alegori. Oleh itu, setiap watak dan penceritaan hendaklah difahami menerusi latar belakang penulis yang hidup dalam era dua perang dunia. George Orwell, orang Inggeris yang lahir di India menyaksikan bagaimana politik menjadikan manusia lebih hina daripada binatang yang tidak berakal. The Animal Farm (1945) adalah antara dua novel yang meletakkannya dalam landskap sastera politik di dunia selain daripada sebuah lagi naskhah berjudul Nineteen Eighty-Four (1949). Pengalaman luasnya berkhidmat dengan tentera dan kewartawanan menajamkan pemerhatian beliau terhadap dunia yang bergolak sejak zaman remajanya di Eton. Sudah terang lagi bersuluh, Politik Kandang adalah alegori kepada situasi yang berlaku di Rusia pada tahun 1917-1943.
 
https://upload.wikimedia.org/wikipedia/en/8/85/Tt0204824.jpeg
Poster filem adaptasi pada tahun 1999.


Bermula daripada Revolusi Rusia pada 1917 sehinggalah era Joseph Stalin memegang tampuk pemerintahan Soviet Union, hampir setiap watak dalam novel ini adalah metafora kepada sosok yang muncul dalam arena politik dunia ketika itu. Pasti pembaca tertanya-tertanya, setiap watak haiwan itu rujukannya kepada ahli politik yang mana satu? Jika diberitahu di sini, akan lenyaplah debaran dan klimaks para pembaca. Satu perkara yang sahih, bukan semua haiwan diberikan penghormatan untuk diletakkan di muka hadapan. Namun, harus dinyatakan, watak Boxer ialah yang paling menarik. Si kuda yang tinggi mencecah 18 jengkal dan bertenaga seperti 2 ekor kuda. Kalau tidak kerana kesetiaannya terhadap Napoleon dan produktiviti yang tinggi dalam bekerja, pasti haiwan lain tidak bersemangat meneruskan kerja mereka. Boxer tidak pernah mempertikaikan segala arahan Napoleon walaupun kadangakala terasa kesetiaan itu seakan-akan membuta tuli. Boxer adalah perlambangan kepada Stakhanovite Movement sekitar tahun 1935. Malang sekali, Boxer dilayan dengan buruk oleh Napoleon meskipun jasanya terlalu besar. Begitu juga dengan nasib yang dialami golongan proletariat. 


Penulis bijak menyeimbangkan sikap positif haiwan terhadap Binatangisme dan Rukun Tujuh dengan mewujudkan watak Benjamin, si Keldai Tua yang skeptikal. Para haiwan langsung tidak menyedari bahawa mereka dipergunakan oleh Para Babi dalam diam-diam. Benjamin sengaja merahsiakan kebolehannya membaca dan menulis dan membiarkan haiwan lain terkial-kial ketika memahami ajaran dalam kelas penulisan. Benjamin juga mendiamkan diri sahaja ketika Rukun Tujuh diubah perlahan-lahan menjadi sesuatu yang jauh menyimpang daripada tujuan asal Pemberontakan. Satu-satunya saat Benjamin bersuara dan mendedahkan kemampuannya membaca ialah ketika Boxer dibawa pergi dengan alasan mendapatkan rawatan di hospital haiwan. Spekulasi wujud bahawa watak Benjamin ini tidak lain dan tidak bukan merujuk kepada penulis sendiri. George Orwell ialah seorang demokratik yang sentiasa skeptikal terhadap permainan dunia politik, lantas ia membolehkan beliau menulis naskhah sensasi seperti The Animal Farm. 


Kebahagiaan yang paling sejati, terletak pada kerja keras dan cara hidup yang sederhana – Napoleon.


Bukan sahaja watak yang mempunyai unsur metafora, malahan setiap peristiwa dan babak dalam novel ini juga ditebak pengkritik sebagai perlambangan kepada peristiwa yang berlaku sekitar Revolusi Russia itu. Kerana itulah George Orwell pernah mengatakan, inilah percubaan pertama kali beliau menulis dengan penuh kesedaran bahawa setiap aspek penulisan naskhah ini adalah bertujuan menggabungkan elemen politik dan artistik dalam sebuah naskhah. Sekadar menyebut satu contoh, ialah ketika perselisihan antara Napoleon dan Snowball yang memang tidak pernah sependapat dan pertelingkahan mereka memuncak dalam hal pembinaan kincir angin. Soviet Union menegaskan bahawa fahaman sosialisme Rusia adalah yang terbaik sementara Trotskyism percaya bahawa budaya sosialisme perlu sentiasa berevolusi. Snowball ialah satu perlambangan kepada cabang fahaman sosialisme yang sedia melakukan perubahan dan menerima kemajuan. Sepertimana evolusi kualiti pencetakan buku yang kini mulai mempertimbangkan aspek permainan warna dan jenis tulisan yang digunakan kerana ia mampu mempengaruhi pengalaman pembacaan. Saiz tulisan novel ini yang tidak terlalu kecil membuatkan pembacaan semasa babak konflik menjadi lebih selesa dan tidak menyesakkan. Teknologi pencetakan nampaknya kian berkembang selari dengan kehendak pembaca. Ini dilihat jelas dengan warna kertas yang digunakan bagi halaman novel ini ialah warna krim, bukannya putih yang kadangkala boleh menyilaukan mata di bawah cahaya terang.
Image result for the animal farm george orwell
Terbitan semula tahun 2000. Edisi kulit lembut.


Begitupun, barangkali suatu pilihan yang juga dilakukan dengan penuh kesedaran, sengaja dibiarkan ilustrasi haiwan di kulit novel satira ini tanpa seekor pun Babi, spesies haiwan yang bermain wayang dalam keseluruhan babak. Jika diperhatikan dalam terbitan penerbit lain, seandainya penerbit menggunakan ilustrasi haiwan, pasti ada seekor dua babi yang dipaparkan dalam keadaan mesra bersama haiwan lain ataupun dengan penggunaan warna merah dan hitam yang melambangkan ketamakan dan kerakusan Babi memperdaya haiwan lain demi kepentingan mereka. Tergetus di fikiran samada pemilihan haiwan yang dipaparkan adalah untuk mengelak sensitiviti masyarakat Melayu yang sememangnya terkenal dengan alah dengan sebarang unsur babi dalam makanan dan juga paparan di media massa. Boleh jadi juga sebuah lagi helah oleh penerbit yang sengaja membiarkan kejutan pengenalan watak Si Major Tua muncul sendiri apabila pembacaan bermula pada Bab Pertama. Ini satu tindakan bijak kerana sebenarnya terdapat beberapa jenis babi menjadi watak dalam novel ini. Bukan semata-mata yang warna merah jambu sahaja. 

Segala teori Binatangisme bahawa para haiwan, yang menjadi suatu simbol kepada golongan proletariat (golongan pekerja), sedang menerima hasil sama rata daripada kerja keras yang dilaksanakan, dan Binatangisme berjaya menghapuskan simbol dan kasta dalam masyarakat, nampaknya hanyalah satu cita-cita kabur yang gagal direalisasikan Ladang Binatang. Kehidupan haiwan yang digambarkan penuh warna ceria di kulit buku semakin hari semakin kelabu sehingga tidak nampak masa depan yang cerah. Golongan proletariat berterusan diperas tanpa disedari menyumbang kepada gaya hidup Babi yang korupsi bersadurkan perangai buruk manusia dan telah bertentangan jauh daripada prinsip asas Binatangisme. Jangan tak tahu, ada beberapa watak manusia wujud juga dalam novel ini walaupun tiada langsung diletakkan lukisan manusia mahupun sekadar bayang-bayang di kulit hadapan. Manusia ditampilkan sesekali dalam konflik yang dipaparkan penulis sama ada sebagai musuh nyata, musuh dalam selimut ataupun sekutu kepada binatang.

Nampaknya penulis betul-betul mencurahkan segala idea dan menyusun setiap babak, walaupun bukan secara kronologi mengikut peristiwa dalam dunia nyata, tetapi memberikan jujukan babak yang berkesan menggerakkan plot novel ini maju ke hadapan dengan pengakhiran yang mengejutkan. Walaupun pembacaan terasa kendur sedikit apabila mulai menjengah ke Bab IX, kerana seakan-akan tiada kesudahan pula perihal binatang dipermainkan oleh Komander Napoleon dan Babi-babi berpangkat kanan itu. Satu demi satu penipuan dicanangkan dan mitos tentang kewujudan Gunung Gula-gula disebarkan supaya para binatang melupakan kesengsaraan hidup yang dialami. Babak penutup yang dihidangkan merupakan sebuah lagi alegori kepada pakatan yang berlaku dalam dunia sebenar pada tahun 1943. Membuatkan binatang akhirnya tertanya-tanya siapakah musuh sebenar mereka? Manusiakah atau binatang sendiri?


Nashkah dalam Bahasa Melayu ini merupakan terjemahan yang baik tanpa menghilangkan pengalaman yang dirasakan apabila membaca karya asalnya dalam Bahasa Inggeris. Ucapan syabas harus diberikan di atas usaha yang murni oleh penterjemahnya saudara Al-Mustaqeem Mahmod Radhi dan Institut Terjemahan & Buku Malaysia. Pilihan menyelitkan biografi ringkas penulis di muka surat pertama berjaya menetapkan angin pembaca daripada awal agar bersedia dengan santapan seterusnya. Tidak kurang kontroversinya juga semasa proses penerbitan apabila kritikan secara langsung oleh penulis terhadap Russia ketika dunia baru sahaja pulih daripada episod peperangan yang berterusan, dilihat sebagai ancaman keselamatan kepada penerbit. Keutuhan Politik Kandang berdiri teguh dek keberanian penulisnya mempertahankan penerbitan novel ini demi pendapatnya disuarakan kepada penduduk dunia ketika itu, membuatkan karya ini berada dalam kelasnya yang tersendiri sejak 70 tahun lalu dan kekal relevan buat pembaca masa kini. 


Nota:
Kritikan ini dihasilkan untuk penyertaan dalam Pertandingan Kritik Buku ITBM
No Resit Pembelian: ITBM02000352 (Tarikh Resit: 28 April 2017)

Comments

Popular posts from this blog

Panduan diet selepas pembedahan laparoscopy/laparotomy

Pengalaman Menjalani Pembedahan Laparoscopy

Pengalaman Excess Baggage dengan MAS Airlines