Ulasan Novel: Rindu oleh Tere Liye

Salam Readers!

Ini janji saya yang telah tertangguh hampir sebulan selepas berjaya menamatkan pembacaan novel ini.


Rindu oleh Tere Liye  (544 halaman)

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiWPMFqsnv8DS68QVOON-i22ZkcEDivys6rBByP5pSaR1b8DWqHkhBx-juNEvTa5QF4ZVN8SrCGPRSaDm4zWruOTXg17CHzCKml_YtTyFHuQOBn9UXEoDKyHVWNyolhtqX2iOXXw9zujo0/s1600/IMG-20141008-01100.jpg
Credit Gambar dari Google
Jarang sekali kita menemui karya yang mampu mengelus jauh ke dalam sanubari, menghulurkan penyelesaian di atas kekusutan yang di alami jiwa dalam cara halus dan berseni. Bila saya sebut jarang, itu bermakna saya sendiri yang gagal berjumpa dengan karya sebegitu. Jadi sekali sekala, bila bertemu, saya rasa terhutang satu ulasan agar bakal pembaca, dapat mempertimbangkan karya ini dalam koleksi bacaan kalian.

            Rindu, tidak seromantis namanya. Bukanlah satu karya yang menawarkan cerita cinta antara uda dan dara. Bukan juga konflik rumahtangga ataupun cinta hingga ke syurga. Ia lebih dari itu. Membuat kita mengubah pemandangan kita terhadap dunia yang kita kenali dan kita mulai melihat konflik menerusi kacamata yang berbeza. Saya jarang sekali rasa terkesan dengan sebarang kata-kata nasihat yang kedengaran seperti ceramah. Walaubagaimanapun, entah mengapa penulis berjaya menyakinkan saya dengan menampil watak manusia alim yang sangat dihormati tetapi tidak berlebih-lebih sehingga seolah-olah maksum kerana manusia itu ada juga khilaf tersendiri. 

Penulis membawa kita menyertai sebuah pelayaran dari Nusantara ke Tanah Arab dalam musim haji 1357 Hijrah yang bermula seawal 9 Syawal ataupun 1 Disember 1938 Masehi. Suatu era yang asing bagi kita, kalau biasanya kita meneroka era pasca merdeka, 1950-an menerusi filem hitam putih zaman P. Ramlee. Era ini lebih jauh ke belakang, terjadi di antara 2 perang besar dunia. Apatah lagi, lebih asing kerana Malaysia juga belum wujud pada masa itu. Sekali sekala apabila penulis menyebut Melaka dan Pulau Pinang, terasa dicuit jiwa juga dengan nama tempat yang dikenali. Pandai penulis mengambil hati pembaca dari Malaysia ni.


Struktur geografi Indonesia diterangkan menerusi lautan, saya kira dari arah timur ke barat walaupun tidak di sebut ke barat ataupun timur mahupun selatan. Sehingga saya perlu merujuk peta bagi memahami lokasi pelabuhan-pelabuhan Surabaya, Batavia, Makassar, Bengkulu dan Acheh agar dapat menggambarkan dengan jelas laluan yang digunakan. Ini tambah menarik kerana geografi adalah subjek kegemaran saya. Selitan geo-politik Nusantara juga memberi rasa enak kepada pembacaan kerana Sejarah dan Politik juga topik yang saya tidak pernah puas belajar. Tapi jangan risau, bukanlah sejarah yang dikupas tetapi pembaca lebih didedahkan kepada perspektif orang tempatan terhadap orang Belanda semasa penjajahan.

Kehidupan kita yang dipenuhi pelbagai tanda tanya menjadi intipati utama dalam nasihat penulis kepada pembaca sementara peristiwa di atas kapal menjadi titik pergerakan plot. Penulis bijak membuat percaturan dalam mewujudkan konflik yang akhirnya memberi jawapan kepada setiap pertanyaan. Terdapat 5 pertanyaan yang melingkari novel ini. Dipersembahkan dalam cara yang paling tidak terduga dan terjawab menerusi kejutan yang muncul. Mari kita teliti pertanyaan-pertanyaan tersebut satu persatu.

Pertanyaan Pertama:

“Aku seorang cabo, Gurutta. Apakah Allah…Apakah Allah akan menerimaku di Tanah Suci? Atau, cambuk mengantam punggungku, lututku terhujam ke bumi… Apakah Allah akan menerimaku? Atau. Mengabaikan perempuan pendosa sepertiku?”
Pertanyaan ini hanya mulai muncul pada bab 30. Setelah pembaca selesa dengan aturan jadual makan, solat dan sekolah dalam Kapal Blittar Holland. Kita telah mengenali hampir kesemua watak dalam kisah ini sebelum dihidangkan dengan soalan pertama yang sungguh serius.

Pertanyaan Kedua:

“Bagaimana mungkin aku pergi naik haji membawa kebencian sebesar ini? Apakah Tanah Suci akan terbuka bagi seorang anak yang membenci ayahnya sendiri? Bagaimana caranya agar aku bisa memaafkan, melupakan semua? Bagaimana caranya agar semua ingatan itu enyah pergi? Aku sudah lelah dengan semua itu, Gurutta. Aku lelah dengan kebencian ini”

Pertanyaan ini menjengah pemikiran pembaca akan sesuatu yang tidak seperti apa yang kita jangkakan. Kita tidak akan tahu ujian yang dihadapi seseorang melainkan kita cukup mengenalinya. Apa yang terzahir secara luaran, tidak semestinya sama dengan dalaman. Apatah lagi, kebahagiaan itu tidak semestinya pada apa yang kita ada. Tapi lebih kepada apa yang kita rasakan.

Pertanyaan Ketiga:

“Kenapa harus sekarang, Gurutta? Kenapa harus ketika kami sudah sedikit lagi dari Tanah Suci. Kenapa harus ada di atas lautan ini? Tidak bisakah ditunda barang satu-dua bulan?.... Kenapa harus sekarang?

Pertanyaan ini kedengaran berani kerana seolah-olah menolak takdir Tuhan. Tapi boleh saja insan yang mabuk cinta jadi sebegitu bila cintanya pergi. Sukar untuk memahami bahawa masa kadangkala tidak menyebelahi kita, dan pemilik masa itu ialah Tuhan Yang Maha Kuasa.

Pertanyaan Keempat:

“Apakah itu cinta sejati?”

Soalan yang paling singkat dan yang paling mendalam. Sehingga ke hari ini kita juga tidak pasti bagaimanakah yang dikatakan cinta sejati itu. Sedangkan yang berkahwin boleh saja berpisah, yang berpisah boleh saja bertaut kembali selepas bertahun-tahun. Demi menjawab persoalan ini, tiada bukti kukuh boleh dilampirkan. Hanyalah kepercayaan dan keyakinan kepada pemilik hati, Tuhan Yang Membolak-balik kan Hati.

Pertanyaan Kelima:

Sengaja tidak dinyatakan disini. Teruskan pembacaan dan akan ditemui dalam halaman-halaman terakhir. Pastinya setiap halaman berbaloi dibaca dan jangan tertinggal walau sepatah pun perkataaan.

Menerusi pertanyaan-pertanyaan yang dilemparkan, si penanya soalan menerima jawapan daripada yang menjawab dengan hati yang terbuka. Begitulah adabnya bila kita bertanya soalan kepada yang lebih arif. Sekaligus, dengan pertanyaan itu, sedikit sebanyak kita mendedahkan aib kepada orang lain, terserah pula kepada yang menjawab untuk beradab dalam memberi jawapan. Penulis menekankan adab bertanya, memberi jawapan dan menerima respon menerusi adegan-adegan dialog tersebut. Anjuran supaya membuka minda apabila soalan dilemparkan. Seperti gelas yang kosong yang bersedia menerima sebarang air yang dituang kedalamnya. 

Gambaran Kapal Blitar Holland

            Bahasa Indonesia nya bukan lah sangat sukar difahami, jika biasa menonton filem Indonesia. Konteks nya juga mudah. Apabila Bahasa Belanda dituturkan, pembaca dijelaskan kembali akan maksudnya menerusi pemikiran pendengar. Budaya Indonesia yang berbilang suku di ceritakan dengan indah menerusi makanan dan nama wataknya. Guruttan Ahmad Karaeng, Ambo Uleng, DaengAndipati pedagang kota Makassar, Ruben Si Boatswain, Bonda Upe dari Pecinan Manado, orang Cina, sekadar menyebut beberapa nama. Sedikit janggal apabila muncul nama Elsa dan Anna, dua orang puteri seperti watak Disney dalam filem Frozen. Pilihan popular, barangkali.

            Jika ingin dinasihati, boleh lah membaca buku ini. Tidak sama walau sedikitpun dengan sebarang khutbah di atas mimbar. Nasihatnya datang samada seperti angin laut yang sepoi-sepoi bahasa ataupun seperti ribut yang mematahkan layar kapal. Yang pastinya, membangkitkan satu rindu yang telah lama terpendam dalam sanubari hati saya. Rindu kan Tanah Suci yang tidak pernah saya sendiri jejaki. 

Wallahua'lam.

Comments

Popular posts from this blog

Panduan diet selepas pembedahan laparoscopy/laparotomy

Pengalaman Menjalani Pembedahan Laparoscopy

Pengalaman Excess Baggage dengan MAS Airlines