Kuliah Terakhir: Antara wasiat dan nasihat

Jika anda diberikan peluang menyampaikan kata-kata akhir, apakah yang akan dikatakan?



KULIAH TERAKHIR



                Memoir kehidupan kadangkala diperhatikan melalui perkara terakhir yang dilakukan sebelum mati. Betapa signifikannya kematian dalam kehidupan manusia, ia menjadi kayu ukur kejayaan hidup tidak kiralah bagaimana keadaan mereka sepanjang hayat sebelum riwayatnya berakhir. Sifatnya yang misteri membuatkan manusia mempunyai pelbagai ekspresi setiap kali berbicara soal kematian.

                The Last Supper
                The Last Sermon

                Sekadar memberi contoh beberapa momen penting berkaitan perkara terakhir sebelum kematian. Samada dalam bentuk penulisan, ataupun lukisan, artis gemar mengabadikan kenangan terakhir menerusi karya mereka untuk tatapan manusia kemudian hari. Bila ia menjadi yang ‘terakhir’, itulah legasi yang dikenang zaman berzaman.
               
                Randy Pausch bukanlah tokoh agung sepanjang zaman seperti Nabi Isa dan Nabi Muhammad, tetapi beliau adalah hero yang memberi inspirasi kepada 15 juta penonton rakaman kuliah yang dimuatnaik ke laman Youtube. Ini adalah cerita sudut pandang pertama terhadap hidup yang diketahui bakal berakhir. Dalam kisah ini, masa benar-benar mencemburui Randy Pausch.

Muka hadapan terbitan ITBM tahun 2015

Judul                     :               Kuliah Terakhir
Muka Surat        :               231 halaman
Penulis                 :               Randy Pausch                  
Penulis bersama:            Jeffrey Zaslow
Penterjemah     :               1) Elainee Hassan           2) Wan Norazah Wan Chik
Terbitan              :               Institut Terjemahan & Buku Malaysia (2015)

               
                Suatu ironi apabila penulis diminta menyampaikan ceramah yang bertemakan ‘Kuliah Terakhir’ ketika beliau sedang bergelut dengan penyakit kanser. Berdasarkan imbasan CT (Computerized Tomography) terbaru, hasil rawatan bukan positif, tetapi memancarkan kegelapan yang berupa 10 biji tumor dalam hati. Tangisan bukan lagi terapi berkesan pada saat ini, jadi penulis nekad meneruskan pelan strategik menghadapi kematian. Nampaknya kuliah kali ini benar-benar bakal menjadi kuliah terakhir sebelum beliau mengucapkan selamat tinggal kepada dunia akademik secara khususnya dan kehidupan secara amnya.

                Buku ini memberikan lampiran tambahan daripada pembentangan slaid semasa kuliah itu. Nampaknya 1 jam 15 minit tidak cukup bagi dia menyampaikan ceritanya, jadi dia memanjangkan ‘kuliah’ kepada 231 halaman lagi. Naratif buku merencanakan perasaan yang dialami sebaik sahaja penulis menerima jemputan menyampaikan kuliah, juga melebarkan plot dalam setiap babak kehidupan; sama ada yang diceritakan semasa kuliah atau bukan, dan kemudian berakhir dengan tamatnya kuliah.

                Penulis umpama hidup dalam kisah dongeng kerana berjaya mencapai semua impian zaman kanak-kanak beliau. Ketika penulis berada di puncak kehidupan, dengan seorang permaisuri dan tiga orang anak, pada usia 47 tahun, takdir merenggut semua nikmat. Penulis membuat refleksi bahawa beliau sengaja mengabaikan kesedihan. Oleh itu, hanya nada ceria terzahir sepanjang pengalaman pembacaan. Ini sangat menakjubkan bagi seorang lelaki yang bakal kehilangan nyawa.

                Sebagai seorang pensyarah, beliau mempunyai falsafah tersendiri dalam pendidikan iaitu lebih penting bagi pembaca memahami mesej yang hendak disampaikan ataupun; hasil pembelajaran (learning outcome) berbanding keputusan akhir ataupun penghujung kisah beliau. Dengan kewujudan penulis bersama, Jeffrey Zaslow boleh sahaja memungkinkan bab akhir dihidangkan dengan cerita kesudahan hayat Randy Pausch. Akan tetapi, setiap babak ditulis daripada kacamata Randy Pausch sendiri sebagai insan yang melalui perjalanan itu. Ini berbeza sama sekali dengan pendekatan yang digunakan oleh Mitch Alborn dalam mengisahkan cerita Morrie, professornya.

Latar Belakang Hidup

                Watak-watak istimewa dalam hidup penulis muncul menambah rencah dalam penceritaan. Ibu ayah yang pemurah, isteri yang pengasih dan penyayang, mentor yang tegas, rakan sekerja yang memberi sokongan serta anak-anak yang memberi inspirasi agar tidak tewas dengan kanser. Dialog antara penulis dan mereka menghasilkan plot menarik, konflik dan persimpangan buat penulis dalam membuat setiap keputusan.
               
                Gambar-gambar yang terselit antara bab dan perenggan memudahkan pembaca mengenali lebih dekat lagi individu-individu sebenar yang wujud dalam hidup penulis. Ada yang turut dipaparkan dalam slaid tetapi sudah kita maklum, ada juga yang hanya ada dalam buku ini dan tiada dalam slaid pembentangan Power Point. Setiap watak menggerakkan jalan cerita ke arah pengakhiran yang telah tertulis untuk Randy Pausch. Walaupun beliau berharap hayatnya dipanjangkan 30 tahun lagi.

                Terlintas juga di fikiran jika penulis tidak dilahirkan dalam keluarga golongan pertengahan adakah jalan hidupnya sebegitu. Peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi bukanlah sesuatu yang diperolehi oleh semua orang. Mungkin cerita lain yang akan diterbitkan sekiranya penulis melalui kehidupan yang berbeza.

                Hanya kerana kita berkuasa, tidak bermakna kita boleh bersikap zalim” – Ayah Randy

                Randy Pausch bukanlah seorang yang hanya mahukan ‘gula-gula manis’ daripada orang sekelilingnya. Jiwanya kental menerima pendapat yang kontra. Kritikan dianggap sebagai pemangkin kepada kehidupan yang lebih baik. Sikap positifnya tebal dan tidak sekalipun unsur negatif ditampilkan. Adakah beliau sengaja menzahirkan begitu dalam buku ini demi memberi tauladan yang baik terhadap pembaca? Manusia bukanlah sempurna, bukan?

Muka hadapan versi asal terbitan tahun 2008

Pencapaian hidup

                Penulis merupakan seorang profesor jurusan Sains Komputer yang berjaya melakukan yang luarbiasa dalam bidangnya. Mana tidaknya, beliau dijemput menulis dalam ensiklopedia World Book. Salah satu penerbitan berprestij yang hanya memilih individu terbaik memberi artikel sumbangan. Tidak mudah untuk bercerita mengenai pencapaian yang diperolehi dalam memoir tentang perjalanan hidup sendiri tanpa berlebih-lebih dan kedengaran ‘masuk bakul angkat sendiri’. Gaya penulisan berjaya mengendurkan tanggapan ini dengan memberi galakan lagak seorang mentor kepada pembaca agar mengikut jejak langkahnya yang berani untuk bermimpi.

                Pengalaman ialah apa yang anda peroleh apabila anda tidak mendapat apa yang anda inginkan - Randy Pausch

                Naskhah yang telah diterjemahkan ke 48 bahasa ini, satu bukti konklusif keazaman mampu mengatasi sebarang halangan atau seperti yang digelar penulis iaitu tembok batu. Bagi penulis, dengan sumber dan orang yang betul, sebarang saiz tembok batu mampu dipecahkan. Malang sekali tumor menjadi tembok batu yang paling ampuh dan menjadi watak hitam kerana tidak sekalipun berganjak dalam menguasai kesihatan penulis.  

                Saya kira Randy Pausch antara manusia yang berjaya mengharungi kedua-duanya; kehidupan dan kematian. Beberapa keputusan yang diambil untuk menguruskan kehidupan keluarganya selepas ketiadaannya kelak dilihat bijak sekali dan luar kotak. Terpamer sifat penulis yang sarat dengan kasih sayang terhadap anak-anaknya dan betapa dia rasa ralat kerana tidak dapat melihat mereka membesar. Benarlah dalam hidup ini, kadangkala kita tidak dapat semua yang kita mahukan.

Panduan hidup

                Latar belakang penulis sebagai seorang pensyarah sangat berperanan dalam membentuk corak penulisan buku ini. Seperti tajuknya, buku ini seakan-akan kuliah daripada seorang pengajar cuma bezanya pembaca mendengar suara sendiri sedang membaca manuskrip kuliah itu. Sekali sekala terasa seperti seorang bapa yang memberikan pesanan kepada anaknya sebagaimana Luqman Al Hakim menggariskan panduan menjalani hidup. Jika ini yang ingin dicapai, penulis berjaya mencapai sasarannya iaitu menyampaikan nasihat yang bertajuk;

                “Bagaimana menentukan hidup anda?”

                Intipati buku ini memberi panduan dan contoh jelas mengenai perjalanan hidup yang berlandaskan prinsip;

                Jika anda mengikut jalan yang betul, karma akan menguruskannya. Impian akan menjelma dalam hidup anda.’

                 Bukan sahaja hampir semua impian Randy Pausch berjaya dicapai, malah beliau mengupayakan pelajarnya agar menggapai impian mereka. Sehinggakan pernah sekali beliau sendiri ragu-ragu terhadap mimpi luar biasa salah seorang pelajar yang ingin menjadi krew filem Star Wars. Ia mustahil kerana belum ada ura-ura yang filem itu akan diterbitkan lagi selepas tiga episod pertama. Aneh pula beliau mempunyai perasaan keraguan sedangkan selama ini begitu optimis. 

Unsur Matematik dan Haiwan

                Penulis menggunakan haiwan dalam memberi simbol dan perlambangan kepada manusia dan objek dalam dunianya;

i- Singa                 : Randy ialah singa yang cedera tapi masih mahu mengaum. Randy menyifatkan                              sifat agresifnya seperti seekor singa.
ii- Gajah               :  Gajah di takrifkan kepada perkara yang paling jelas sedang berlaku. Mustahil                                  untuk kita tidak perasan seekor gajah berada di dalam bilik kerana saiznya      
                             yang besar. Tapi kita perlu juga menerangkan situasi itu agar orang mencapai                                 kefahaman yang sama dengan kita.
iii- Penguin        : Penguin pertama ialah orang yang mengambil risiko terbesar tapi gagal.

                Dalam mengetengahkan gagasan optimistik, dilampirkan satu rumus matematik iaitu persamaan kuadratik:
 
                                   
http://tutorial.math.lamar.edu/Classes/Alg/SolveQuadraticEqnSummary_files/eq0002P.gif

                Ini bukti bahawa penulis mempercayai kuasa tertinggi ialah hasil daripada gandaan dua. Begitulah seterusnya apabila penulis menggandakan usaha dalam setiap pekerjaan. Tidak ada unsur berputus asa atau gandaan 1 yang hanya membuahkan hasil yang sama dengan digit sebelumnya.

                Gerakan plot yang pantas dan bertenaga tidak membuatkan pembaca berasa bosan dan rasa meleret. Rangka cerita tidak berjalan secara linear, bertindan antara satu babak ke babak yang lain berdasarkan isi hati penulis ketika bab itu ditulis. Mungkin itu satu strategi untuk ‘memaksa’ pembaca kekal segar mengikuti penceritaan dan memberikan perhatian kepada manuskrip kuliahnya. Paling tidak terjangka, sambil membaca kisah kejayaan demi kejayaan yang penuh inspirasi ini, akhirnya saya menitiskan airmata dek tenggelam dalam emosi Jai, sang isteri. Terasa seperti diri sendiri yang bakal kematian suami tersayang.

                Nyata bahawa kematian mampu menggoncang kepercayaan kita terhadap hakikat kehidupan. Setiap yang hidup pasti mati, perit atau senang, berani atau takut, gagah atau kecut, cepat atau lambat, lama atau singkat, bersendirian atau bersama-sama teman, dalam keadaan bersedia atau terkejut, kita tidak mungkin dapat lari daripada menghadapi ketentuan yang pasti. Randy Pausch menyarankan agar kita kekal positif dalam selok belok yang terpampang di depan mata.

                Buku ini cukup rencahnya bagi kisah ‘pilu’ insan yang bakal dijemput ajal. Penulis bijak menggerakkan tangan dalam permainan kad terup yang diatur oleh Tuhan. Para penterjemah telah melakukan yang seharusnya bagi menghormati karya asal dengan menggunakan gaya bahasa mudah yang mirip dengan naskhah asal. Jika anda seorang yang sedang meratapi kehidupan yang masih biasa-biasa, kenangkan lah kisah Randy Pausch yang mempunyai segala-galanya dalam konteks kejayaan di dunia yakni keluarga, harta, dan nama kecuali masa.

                Premium insurans emosional hanya boleh dibayar dengan masa yang ada. – Paderi

http://blog.syracuse.com/shelflife/2008/07/pausch.jpg
Penulis bersama isteri dan anak-anak




Sumber Rujukan:
www.wikipedia.org
www.alice.org 

Ulasan ini memperoleh 10 ulasan terbaik dalam Peraduan Ulas Buku ITBM 2016

Comments

Popular posts from this blog

Panduan diet selepas pembedahan laparoscopy/laparotomy

Pengalaman Menjalani Pembedahan Laparoscopy

Pengalaman Excess Baggage dengan MAS Airlines