Elhana dan Zakuan, Bab 3



Bab 3
            Mengah pula larian hari ini. Ini bukan kali pertama dia pusing Bukit Ekspo dan menggunakan laluan belakang dari kolejnya. Tapi entah mengapa badannya penat sekali. Mungkin sebab tidak cukup tidur malam semalam.
            “Awak seorang je ke ni?”
            Terkejut Elhana.
            “Awak ni stalker saya ke? Kenapa selalu tiba-tiba ada?” Zakuan tersengih sambil menghulurkan air 100 plus dan disambutnya dengan senang hati sebab air tu macam baru keluar peti ais.
            “Selama ni tak. Tapi sejak minggu lepas, ya. Sejak saya tahu awak ada di UPM” Jawapan itu walaupun tersangat poyo tapi Elhana senang hati mendengarnya.
            “Mana awek purple awak tu?” Nada cemburu menular dalam soalan Elhana.
            “Oh.. Dia ada kelas petang ni.”
            Keadaan diam seketika. Sekali lagi Zakuan tidak menafikan bahawa gadis itu adalah teman wanitanya. Sejak kejadian di kafetaria tempohari sudah beberapa kali Elhana ternampak kelibat Zakuan berdua-duaan dengan gadis yang gemar memakai baju berwarna ungu itu di mana-mana sahaja. Tapi apa kedudukannya kini untuk mempersoalkan perkara itu. Mereka berpisah dahulu atas persetujuan masing-masing. Elhana bungkam tertunduk ke arah rumput yang mulai kekuningan akibat cuaca panas kering.
            Tawa Zakuan berderaian. Elhana pelik lalu memandangnya. Apa yang kelakar sangat?
            “Dia bukan girlfriend saya. Saya sengaja nak tahu awak masih sayangkan saya atau tidak”
            Benarkah apa yang Zakuan kata ni? Elhana rasa macam tak percaya.
            “Betul. Saya memang doa yang awak jodoh saya. Nampaknya Allah dah makbulkan doa saya. Dia buat kita belajar sama-sama di UPM”
            Kata-kata itu membuahkan harapan kepada Elhana akan keadaan masa hadapan mereka berdua. Hidup bersama Zakuan merupakan impiannya sejak dahulu. Tapi dia tidak sangka Zakuan mempunyai niat yang serupa.
            “Oh ya, Ilhami apa khabar?” Masih jelas ingatannya kepada sahabat baik Zakuan itu.
            Zakuan terbatuk seolah-olah terkejut. Tidak sangka Elhana masih mahu bertanya khabar Ilhami selepas bermacam-macam perkara buruk yang telah dilakukan Ilhami terhadap diri gadis itu.
            “Ilhami okey. Lepas grad hari tu dia terus mulakan bisnes sendiri jual jersi sukan. Nanti bila-bila saya bawa awak jumpa dia dekat Uptown Shah Alam”
            Dia mengangguk. Indahnya hari-hari yang bakal berlalu selepas ini nanti dengan kehadiran Zakuan di sisi. Sekali lagi Zakuan menjadi senior nya. Kali ini di universiti pula. Dia berasa seperti mempunyai seorang Malaikat Pelindung yang akan selalu berada disampingnya di kala kesusahan.
            Sarah juga perasan dengan perubahan Elhana yang lebih ceria. Selama ini dia banyak diam sahaja dan berbicara bila perlu. Sekarang Elhana yang lebih gemar menyapa rakan sekelas yang lain dan mengucapkan selamat tinggal selepas kelas habis. Sarah gembira dengan keadaan Elhana sekarang. 

            “Elhana, kau buat apa lepas habis kelas?”
            Sudah berapa puluh kali persoalan itu ditanya menerusi mesej dan seperti biasa, Elhana akan menjawab ringkas.
            “Tidur”
            Lelaki itu tidak mahu mengalah. “Jom lah ikut kami pergi main bowling. Zakuan pun ada sekali”
            Elhana mendengus kasar. Dia tidak faham mengapa lelaki itu beria-ia mengajaknya ikut sekali ataupun pada waktu lain mahu mengajaknya keluar. Sejak Zakuan bawanya berjumpa Ilhami dua minggu lepas, sejak itulah Ilhami mula mengganggunya.
            “Keluar saja lah dengan dia. Saya tak marah”
            Kata Zakuan bila Elhana bercerita tentang perkara itu. Dia tidak mahu kerana dia tidak pernah berasa selesa berada berhampiran dengan lelaki itu. Ilhami seorang watak pembuli tegar yang tidak berhenti mengusiknya dengan apa sahaja cara. Tapi hari ini bila Ilhami memberitahu yang Zakuan ada bersama, hatinya kendur bersetuju.
            Bila sahaja tiba di pusat bowling, dia mencari kelibat Zakuan tapi tidak pula kelihatan. Kena tipu dengan Ilhami ke ni? Dia sengaja nak kenakan aku dan buat aku datang sini sorang-sorang?
            “Elhana…kau datang juga akhirnya”
            Ilhami muncul dari arah belakang. Entah kenapa terus hatinya rasa tidak sedap hati. Macam ada sesuatu yang tidak baik bakal berlaku. Dia cuba beredar dari situ.
            “Zakuan tak ada. Tapi aku kan ada. Sama je kan kitorang? Lelaki juga.” Nada Ilhami sedikit keras. Mungkin kerana dendam selama ini bila Elhana selalu menolak pelawaan untuk keluar bersama.
            “Maaf Ilhami, kalau sebenarnya tak ada apa-apa saya nak pergi dulu” dia cuba lagi untuk pergi tetapi Ilhami menggenggam tangannya. Dia terpaku.
            “Ilham! Kitorang main dekat lane 20!” kedengaran suara rakan-rakan Ilhami memberitahu dari jauh.
            “Baik kau berpura-pura jadi girlfriend aku kalau tidak nahas kau nanti!” Ugutannya keras sekali. Elhana ketakutan. Lelaki itu memang makhluk yang diktator. Elhana tidak mampu berbuat apa-apa melainkan terpaksa akur. Dia tahu Ilhami mampu untuk berkelakuan ganas. Dahulu di sekolah dia pernah terlibat dengan pergaduhan besar-besaran.

            Masih dia ingat pada satu hari dia ternampak Zakuan berlumuran darah. Kepalanya cedera dihentak sesuatu yang keras.
            “Tak ada apa-apa lah. Saya masih boleh nampak awak dengan jelas” pujuk Zakuan ketika Elhana menemaninya ke klinik.
            Petang itu, Elhana berbohong kepada Ibu dan mengatakan ada perbincangan dengan kawan. Elhana menangis melihat Zakuan yang tercedera. “Ni mesti Ilhami yang ajak cari gaduh dengan orang ni” teka Zakuan.
            “Orang tu pun kurang ajar juga. Dia fitnah Ilhami” Zakuan membela perbuatan Ilhami.
            “Orang macam Ilhami tu memang patut pun kena fitnah. Suka sangat cari pasal dengan orang” Elhana tidak suka Zakuan berkawan rapat dengan Ilhami. Terutamanya bila perkara sebegini berlaku. Lambat laun pasti sesuatu yang teruk akan berlaku bila hidup berisiko seperti Ilhami.

            Kejadian di pusat bowling itu tidak pernah diceritakan kepada Zakuan. Dia khuatir Zakuan risaukan dia dan mungkin bertelingkah dengan Ilhami. Secara teknikal Ilhami tidak berbuat apa-apa terhadapnya dan selepas itu Ilhami menghantarnya pulang ke hostel. Cuma dia kesal dia tidak bertanya kepada Zakuan sebelum dia bersetuju keluar dengan Ilhami. Ini adalah pengajaran terhadapnya dalam berhadapan dengan Ilhami. Lelaki yang tidak boleh dipercayai.

            “Cepat kan masa berlalu?” 

            Ujar Zakuan pada suatu petang. “Sekejap je saya dah tahun akhir dan awak dah tahun tiga. Lepas ni saya kerja lepas tu saya masuk meminang awak.” Seperti biasa mereka berdua sengaja bertembung di Bukit Ekspo. Tidak berjanji tetapi sengaja mencipta kebetulan.
            Elhana rasa terhibur dengan dengan cita-cita Zakuan yang begitu manis dan sentiasa memikirkan dirinya dalam perancangan masa depan. Walaupun gerak hati kecilnya merasakan hidupnya bersama Zakuan mungkin tidak seindah yang mereka impikan. Dia cuba menidakkan getusan negatif itu tapi ia selalu hadir seperti bisikan untuk menimbulkan keraguan terhadap kata-kata Zakuan.
            “Hana.. Awak tak percaya ke dengan kata-kata saya?” Zakuan dapat meneka fikiran Elhana selepas sambutan dingin diberikan dari pihak Elhana.
            “Bukan tak percaya. Tapi saya bukan macam awak. Saya lebih realistik dan saya hanya percaya sesuatu perkara itu bila ia terjadi. Semua yang awak cakap tu sekarang ni masih lagi mimpi. Belum lagi jadi kenyataan” Elhana melemparkan pandangan ke arah pokok yang merimbun hijau.
            “Macam mana awak boleh kata mimpi sedangkan kita sekarang ni dalam keadaan sedar?” Zakuan cuba bergurau.
            Zakuan harus faham sesuatu bahawa setiap kata-kata hanyalah berada di atas garisan yang terbelah di antara mimpi dan kenyataan. Hanya tindakan dan redha dari Tuhan yang akan memberi takdir terhadap sesuatu perkara itu. Bukan manusia yang menentukan perjalanan dan pengakhiran manusia. Manusia hanya boleh berusaha ke destinasi yang ingin dicapai tetapi semua itu tidak berhak terjadi tanpa redha Tuhan.
            Elhana cuba buat Zakuan faham apa yang berada dalam kotak fikirannya sekarang ini. Hidup bukan lah satu jalan yang lurus dan terus. Garisan nya tidak linear seperti yang kita lihat dalam jalan cerita. Lepas dua jam sahaja terus habis ke babak akhir.
            “Macam mana pun takdir kita nanti Hana, saya tetap akan berusaha agar akhirnya kita bersama.” Ikrar Zakuan.

            Selepas beberapa bulan, Ilhami menamatkan pengajiannya di UPM. Elhana kini dalam tahun akhir telah memulakan latihan di salah sebuah hospital di utara tanah air. Sekali lagi mereka berjauhan selepas beberapa tahun berada berdekatan. Kuat hatinya merasakan sesuatu akan berlaku dan dia tidak terperanjat apabila satu hari mesej dari Zakuan mengundang kebejatan pemikiran.

            “Hana, saya nak kahwin. Tapi saya nak jumpa awak sebelum saya kahwin”

            “What?!” Balas Elhana.

            “Esok flight saya sampai pukul 6 petang. Saya minta awak jemput saya di airport. Saya akan terangkan segalanya” Begitu sahaja respon Zakuan.

            Malam itu Elhana tidak boleh tidur lena. Dia hampir sahaja menampar mukanya dan meminta rakan sebilik membaca juga mesej itu bagi memastikan yang dia tidak berhalusinasi. Benarkah Zakuan hendak kahwin?

            “Speak”
            Elhana meminta penjelasan. Zakuan yang pada awalnya memandang tepat ke matanya beralih arah ke luar restoran. Kelihatan wajahnya kusut dan tidak tenang. Zakuan tidak kelihatan seperti Zakuan yang biasa. Yang manis, yang melegakan hati Elhana.
            “Saya minta maaf. Sebab saya tidak dapat tunaikan janji saya kepada awak”
            Perlahan lahan diatur butir bicaranya. Air mata Elhana sudah tertakung.
            “Apa yang dah jadi?”
            “Ros. Dia minta saya kahwin dengan dia. Sebab dia dah mengandung.” Ros merujuk kepada teman sekuliah yang rapat dengan Zakuan semasa belajar dahulu. Zakuan anggap Ros seperti adiknya sendiri selama ini. Walaupun pada awalnya Elhana cemburu dengan hubungan rapat mereka, kemudian mereka bertiga berkawan erat. Elhana kenal siapa teman lelaki Ros. Salah seorang pensyarah mereka juga.
            “Habis awak sanggup, Zakuan?”
            “Saya kasihan dengan Ros. Dr Farid tak nak mengaku itu anak dia. Demi reputasi dia. Jadi, dia tiada pilihan. Saya tiada pilihan”
            Menitis juga airmata Elhana satu persatu.
            “This is absurd! Awak berkata tentang pilihan, apa pilihan yang saya ada sekarang ni Zakuan? Saya tak boleh kata tidak. Awak dah tetap dengan keputusan awak”
            Zakuan terkedu. Ada benarnya kata-kata Elhana itu. Dia sudah tetap dengan pendiriannya untuk membantu Ros. Ros yang telah dianggap sebagai keluarga. Tujuannya datang bertemu Elhana ini lebih kepada meminta restu daripada Elhana akan keputusan yang telahpun dia lakukan.
            Seolah-olah dapat membaca fikiran Zakuan. Elhana menyambung lagi. “Saya redha kalau awak yakin ini perkara yang betul untuk dilakukan, Zakuan. Saya kenal awak macam mana. Tapi saya nak awak juga redha kalau satu hari nanti saya berkahwin dengan orang lain”
            Kali ini giliran airmata Zakuan pula yang bertakung. Dia menggapai tangan Elhana dan menggenggamnya. Elhana melarikan tangannya. Dia cuba menguatkan dirinya dalam memahami hakikat yang perit ini. Perkara yang dilakukan Zakuan ini cukup menghiris perasaannya walaupun tindakan itu terpuji.
            “Saya tak sanggup.” Zakuan menggeleng.
            “Tapi awak sanggup jadi Pak Sanggup”
            Pertemuan itu terlalu perit untuk diteruskan. Hati Elhana cukup hancur dengan perbuatan Zakuan. Walaupun seputih mana dia cuba mewarnakan tindakan Zakuan itu, perasaannya tetap kembali kepada rasa dikhianati. Segala janji-janji Zakuan kekal menjadi mimpi dan kini tak mungkin direalisasikannya. Lelaki itu bakal memulakan hidup baru bersama Ros dan anak kecil yang perlukan kasih sayang seorang bapa.
            Zakuanlah bapa anak itu kelak. Juga suami Ros. Elhana dapat menerima hakikat yang Zakuan menjadi seorang bapa tetapi dia tidak dapat menelan kenyataan bahawa Zakuan perlu bertanggungjawab terhadap Ros. Sepatutnya yang duduk di atas pelamin itu, Elhana. Bukan Ros.

Comments

Popular posts from this blog

Panduan diet selepas pembedahan laparoscopy/laparotomy

Pengalaman Menjalani Pembedahan Laparoscopy

Pengalaman Excess Baggage dengan MAS Airlines