Harta Karun Lezato [Part 8]

Bab 4: Harta Karun Lezato


“Jadi Mimi Larra memang tidak melihat kejadian pembunuhan itu berlaku?” Seorang anggota keselamatan kota yang beruniform menyoal sambil tulisan timbul di atas buku catatannya tanpa dia perlu menulis sendiri.
“Tidak.. Daku sedang berlatih vokal di bilik sebelah sementara Lezato sedang memberi makan kucing-kucingnya. Oh Tuhan.. Sekarang mereka tiada lagi penjaga yang baik hati..” Larra menyambung tangisannya.
“Mungkinkah ada kucingnya yang bertukar menjadi singa dan cuba mencederakan tuan mereka sendiri?” anggota keselamatan membuat telahan. Pernyataan dungu itu menimbulkan suasana yang tegang antara Larra dan anggota itu.  Larra merasa geram dengan kebodohan anggota itu membuat tekaan. Tidak pernah dia berjumpa dengan anggota sedungu itu.
“Ente fikir kucing-kucing ini kucing jelmaan kah? Ente pergi dari sini. Daku tidak mahu lagi bercakap dengan dengan anggota bodoh seperti ente!” Larra menjerit ke arah anggota itu. Dia yang berbadan besar itu lantas menolak anggota itu keluar dari biliknya dan menutup pintu dengan kuat tanda tidak puas hati.
Rossa dan Pemuda mengintip kejadian itu. Mereka melihat anggota yang terkial-kial cuba meninjau keadaan ruang tamu yang sedikit pun tidak berselerak. Tiada sebarang tanda pencerobohan dapat dilihat pada ruang tamu itu. Akhirnya anggota itu masuk ke dalam bilik yang menjadi tempat kejadian untuk menyertai anggota CSI yang sedang ligat menyiasat.
Mereka harus segera menyiasat kes itu atas arahan Sultan yang juga peminat setia Larra. Sebarang cuti mahupun cuti sakit telah dibekukan sehinggalah pembunuh Lezato diberkas. Oleh itu mereka bergegas cuba menyelesaikan kes pembunuhan ini secepat yang mampu.
Pemuda yang cuba untuk menyelinap masuk ke dalam rumah sementara tiada sesiapa berlegar-legar di ruang tamu, ditahan Rossa. “Tunggu dulu. Takkanlah mahu masuk begini..” Rossa merujuk kepada pemakaian mereka. Pemuda mengerutkan keningnya. Habis apa lagi yang boleh mereka lakukan? Ini sahaja peluang baginya dan Rossa untuk masuk bertemu dengan Larra. Rossa memetik jarinya. 
Dengan serta merta pakaian mereka dari hujung kaki ke hujung rambut bertukar kepada pakaian anggota keselamatan. Sama serupa dengan pakaian yang dipakai anggota keselamatan lain. Dengan ini tiada siapa akan mengesyaki Pemuda dan Rossa. Pemuda tersenyum sambil menunjuk isyarat bagus kepada Rossa.
“Erm.. Mimi Larra..” Pemuda cuba membesarkan suaranya agar kedengaran seperti kebanyakan anggota keselamatan yang besar suara. Namun tiada jawapan dari dalam bilik. Rossa memandang keletah Pemuda lalu cuba membuka pintu dengan jemarinya yang halus. 

Comments

Popular posts from this blog

Panduan diet selepas pembedahan laparoscopy/laparotomy

Pengalaman Menjalani Pembedahan Laparoscopy

Pengalaman Excess Baggage dengan MAS Airlines